Skip to main content

Sukan Lain

Triatlon Desaru: Syed Saddiq, anak Bella Astillah tamatkan perlumbaan dalam kategori masing-masing

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ss.jpg
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, buat kali kedua berturut-turut menyertai International Multisport Coastal Fest 2025 dengan acara triatlon di Desaru, Johor Bahru.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang mengambil bahagian pada 2024 itu meneruskan amalan gaya hidup sihatnya dengan menguji tahap ketahanan dan kecergasan yang memerlukan pengorbanan tinggi.

"Saya masih baru dalam hal ini, tetapi saya semakin bersemangat mengenainya. 

"Saya di sini untuk menyokong penganjur, rakan-rakan saya yang mengambil bahagian, dan yang paling penting, untuk memperbaiki diri saya," kata individu berusia 32 tahun itu, yang mencatatkan masa 6:14:27.

Syed Saddiq menggunakan platform ini sebagai sebahagian daripada matlamat asalnua untuk berjuang dalam dua acara utama: Kejohanan Dunia IRONMAN di Nice September ini dan IRONMAN Malaysia di Langkawi pada November.

"Sukan ini bukan sekadar hobi. Ia perlu menjadi sebahagian daripada agenda kesihatan negara," tambahnya. 

"Lebih 50 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan, satu per tiga adalah obes, dan lebih daripada 30 peratus menghidap diabetes.




"Kita perlu mengambil tindakan dan acara seperti ini adalah tempat yang baik untuk bermula," katanya.

Sementara itu, sorakan paling kuat pada hari itu dikhaskan untuk Ayden Adrean yang berusia lapan tahun yang merupakan anak kepada pelakon dan penyanyi popular Malaysia, Bella Astillah (Dayang Ara Nabellah Awang Astillah) yang membuat penampilan sulung triatlon dalam kategori super sprint, yang menggabungkan renang 300 meter (m), basikal 10 kilometer (km) dan larian 2km.

Perlumbaan Ayden bermula dengan goyah apabila dia kehilangan pelampung keselamatannya sejurus selepas berenang dan terpaksa kembali ke pantai. 

Tetapi dengan penganjur membenarkan dia menyambung semula dengan segmen seterusnya iaitu berbasikal dan berlari sehingga melengkapkan perlumbaannya.

"Saya memang penat semasa berbasikal, tetapi saya tidak pernah berputus asa.

"Ini adalah pertandingan terbaik yang pernah saya cuba!"

Anak muda itu hanya berlatih selama seminggu sebelum perlumbaan, dibimbing oleh jurulatih — tetapi sudah membuktikan kemampuannya selepas menamatkan renangan air terbuka 400m di Langkawi baru-baru ini.

Ibunya Bella, yang kelihatan beremosi di garisan penamat, berkata: "Saya tidak pernah memaksa Ayden dalam perkara ini. Selagi dia berminat, saya akan sentiasa menyokongnya. 

"Saya sangat gementar apabila dia tidak muncul semasa segmen basikal - tetapi itu hanya reaksi biasa ibu!"
 

Advertisement

Must Watch Video