BERITA SUKAN AM

Tradisi dan ketahanan orang asli: Potensi bakat sukan untuk negara

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip 14/01/2025 | 08:39 MYT
Cara hidup Orang Asli di Malaysia, yang unik dan berkait rapat dengan alam semula jadi, menjadikan mereka luar biasa dalam pelbagai aspek. Kehidupan yang sederhana tetapi harmoni dengan alam semulajadi memberikan mereka kekuatan fizikal, mental, dan budaya yang istimewa.
Kekuatan mental mereka juga luar biasa. Orang Asli telah lama hidup dengan cabaran seperti perubahan cuaca, kekurangan sumber, dan ancaman dari persekitaran. Nilai-nilai ini sering menjadi kelebihan dan keunikan yang sukar ditandingi oleh masyarakat umum.
Orang Asli di Malaysia memiliki kebolehan semula jadi yang luar biasa dalam kekuatan fizikal. Kecergasan fizikal, stamina, dan ketahanan mereka sering kali menjadi kelebihan yang sukar ditandingi kerana cara hidup mereka melalui alam semulajadi. Gaya hidup mereka yang banyak melibatkan aktiviti fizikal memberikan kelebihan dari segi stamina dan ketahanan badan. Namun, potensi besar ini sering kali tidak mendapat perhatian sewajarnya. Oleh itu, langkah-langkah strategik perlu diambil bagi memastikan bakat mereka tidak disia-siakan.
Langkah pertama ialah mengenal pasti bakat mereka melalui program pencarian bakat di kawasan pedalaman. Program ini boleh dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan lain lain. Jurulatih profesional boleh dilibatkan untuk memantau dan menilai potensi mereka dalam pelbagai jenis sukan. Kenalpasti awal bakat ini penting untuk memberikan mereka peluang bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Bakat seperti berenang, mendaki, memburu boleh diterjemahkan dalam sukan.
Seterusnya, program latihan khusus perlu disediakan untuk memenuhi keperluan fizikal dan budaya komuniti Orang Asli. Latihan ini boleh direka bentuk untuk menyesuaikan diri dengan kemampuan dan kekuatan mereka. Selain itu, kemudahan sukan seperti gelanggang, trek, atau gimnasium perlu dibina berhampiran kawasan komuniti mereka untuk memastikan akses yang mudah kepada mereka seperti sekolah. Pada masa kini, pelbagai akses seperti tenaga solar, starlink internet, dapur masak telah disediakan di perkampungan orang asli, namun begitu kemudahan sukan masih belum meluas lagi.
Biasiswa sukan juga merupakan inisiatif yang boleh membantu mereka mengembangkan bakat. Dengan menawarkan biasiswa kepada individu yang menunjukkan prestasi cemerlang, mereka bukan sahaja mendapat sokongan kewangan tetapi juga motivasi untuk terus maju dalam bidang sukan. Biasiswa ini boleh dihubungkan dengan pendidikan agar mereka turut berjaya dalam bidang akademik dan mendapat latihan sukan serta boleh duduk di sekolah berasrama.
Platform pertandingan dan penyertaan dalam kejohanan sukan juga perlu diperluaskan untuk Orang Asli. Mereka perlu diberi peluang bersaing di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan. Selain itu, pertandingan khas yang melibatkan komuniti Orang Asli boleh dianjurkan bagi memberikan pendedahan awal kepada mereka. Langkah ini dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk bersaing dan menunjukan bakat sukan yang ada.
Kerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi adalah kunci utama dalam usaha ini. Institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti boleh berperanan dalam kenal pasti awal pelajar berbakat untuk diserap masuk dalam acara sukan. Kerjasama yang baik juga perlu diwujudkan melalui jabatan kemajuan orang asli (JAKOA) agar dapat memastikan usaha ini berjalan dengan lancar.
Akhir sekali, pendidikan dan kesedaran perlu diberikan kepada komuniti Orang Asli mengenai potensi kerjaya dalam sukan. Klinik, bengkel dan seminar motivasi boleh dianjurkan untuk memperkukuhkan keyakinan mereka. Dengan pendedahan yang betul, kebolehan dan bakat mereka bukan sahaja akan meningkatkan martabat komuniti Orang Asli tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Akhir kata dengan hikmah kita teroka, Kerana Tuhan Untuk Manusia.
Disediakan oleh:
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM.
#sukan #MSN #ISN
;