Tokyo 2020: Pemenang pingat emas puji Nur Dhabitah

Muzaffar Musa
Ogos 1, 2021 18:56 MYT
Pemenang pingat emas acara 3 meter papan anjal individu wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020, Shi Tingmao, memberikan pujian buat penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, selepas mempamerkan aksi memukau dalam final acara itu hari ini.
Shi Tingmao, yang merupakan penyandang juara edisi di Rio pada 2016, menjelaskan betapa saingan kali ini tidak semudah seperti yang disangka, di mana kebanyakan atlet bergelut untuk memberikan aksi terbaik memandangkan temasya itu telah tertunda sejak setahun lalu.
Nur Dhabitah, 22, mengumpulkan markah keseluruhan 326.15 mata, hanya ketinggalan 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer.
Jaguh China, Shi Tingmao, pula menepati ramalan selaku pemenang pingat emas dengan 383.50 mata manakala rakan senegaranya, Wang Han (348.75 mata), memenangi pingat perak.
Bercakap mengenai Nur Dhabitah selepas saingan itu, Shi Tingmao berkata: "Saya rasa semua peserta sudah memberikan yang terbaik di sini tetapi atlet yang bagus memerlukan cabaran sengit daripada pihak lawan.
"Tidak kisah di kedudukan mana anda berakhir, setiap kedudukan itu pasti ada nilainya."
Dalam pada itu, Wang Han menambah: "Saya memang berkawan baik dengan penerjun Malaysia itu (Nur Dhabitah) kerana kami boleh berbahasa yang sama.
"Saya percaya dia sudah memberikan yang terbaik. Untuk layak ke Sukan Olimpik juga sudah boleh dianggap satu pencapaian yang besar dan semua peserta sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh."
#Terjun #Nur Dhabitah Sabri #Shi Tingmao #Sukan Olimpik Tokyo 2020 #Wang Han
;