Gimnas lelaki negara, Jeremiah Loo, mengakui sudah mula selesa dengan enam aparatus di venue rasmi menjelang pembukaan acara gimnastik artistik dua hari lagi tetapi mula risau apabila akan beraksi buat kali pertama tanpa kehadiran penonton dalam Sukan Olimpik Tokyo.
Biarpun hanya mempersiapkan diri selama sebulan untuk ke temasya terbesar dunia itu, ia tidak menghalang atlet berusia 21 tahun berkenaan untuk memperbaiki kelemahan yang ada, terutama dalam acara palang tunggal.
Jeremiah hanya menyedari bahawa dia sah layak akan beraksi di Tokyo pada bulan lalu dan mengakui sudah bersedia untuk membawa cabaran negara selepas 17 tahun tiada wakil negara melayakkan diri dalam acara itu.
Bagaimanapun, cabaran utamanya ketika ini adalah untuk bersaing dalam norma baru tanpa sebarang penonton, yang diakuinya akan memberikan rasa janggal.
"Semua tentang aparatus baik-baik sahaja, ia lebih bagus daripada yang ada dalam dewan latihan," katanya kepada wakil Nadi Arena, Syakirah Zulkifly
"Saya fikir saya sudah boleh membiasakan diri dengannya dan sudah bersedia untuk hari pertandingan.
"Mungkin (kebimbangan) adalah beraksi tanpa penonton kerana kebiasaannya memang ada penonton.
"Saya tidak pasti sama ada saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu atau tidak. Ada kebaikan dan ada keburukannya.
"Kebaikannya adalah apabila tiada penonton, anda akan berasa ia hanya seperti latihan tetapi keburukannya adalah anda akan berasa kurang bermotivasi," katanya.
Muzaffar Musa
Thu Jul 22 2021