Dua pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, berdepan hari penuh mencabar sebelum layak ke pusingan ketiga acara pecut Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Selepas menduduki tangga ke-17 dalam pusingan kelayakan, Azizulhasni tewas kepada juara bertahan dari Great Britain, Jason Kenny, sebelum mengungguli penentuan repechage untuk layak ke pusingan kedua.

Bagaimanapun, jaguh negara itu sekali lagi tewas dalam pusingan kedua, kali ini kepada pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul, untuk sekali lagi perlu bersaing dalam pusingan repechage.

Mujur dia tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan wakil Kanada, Nick Wammes, untuk bertemu pelumba terpantas peringkat kelayakan, Jeffrey Hoogland (Belanda), dalam pusingan ketiga esok.

Ia pasti akan menjadi satu lagi lawan mencabar buat Azizulhasni selepas Hoogland memecahkan rekod Sukan Olimpik dalam pusingan kelayakan.

Nasib sama turut menimpa seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus, yang menduduki tangga ke-23 pusingan kelayakan sebelum tewas kepada juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen, dalam pusingan pertama.

Shah Firdaus kemudian memenangi penentuan repechage tetapi sekali lagi tewas dalam pusingan kedua kepada Pelumba Great Britain, Jack Carlin.

Dia kemudian mempamerkan semangat juang jitu menewaskan wakil Kanada, Patryk Rajkowski, biarpun perlumbaan itu terpaksa dimulakan semula berikutan satu insiden perlanggaran.

Bagaimanapun, laluan berliku menantinya esok apabila sekali lagi akan bertemu Lavreysen dalam pusingan ketiga.


*kredit foto: asiana.my