Tinju Piala Malaysia: Adli Golden Boy tewas mengejut

Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2021 21:07 MYT
Langkah Adli Hafidz -- yang turun dengan reputasi peninju profesional -- untuk ke final kategori 71 kg Kejohanan Tinju Piala Malaysia lebur selepas pencabarnya, Helmi Chieng, lebih memikat juri dalam pertarungan di Kompleks Sukan MSN, Nilai, hari ini.
Rentak agresif Helmi, yang membuat penampilan pertama, sejak awal pertarungan memerangkap peninju pilihan itu dan walaupun Adli yang mewakili Wilayah Persekutuan (WP) cuba bangkit dalam pusingan ketiga, ia nyata sudah terlewat.
Kemenangan itu menawarkan peninju muda dari Sarawak tersebut peluang untuk bergelar juara esok apabila bakal berdepan wakil ATM, Firdaus Kamaruzaman, yang mengetepikan wakil Johor, Haziq Zafran.
"Adli memang bagus, dia banyak berikan saya pengalaman dalam pertarungan ini.
"Selepas pusingan pertama, saya sedar perlu tingkatkan persembahan dalam dua pusingan berikutannya, kalau tidak saya akan kalah.
"Insya-Allah saya dapatkan gelaran juara," kata Helmi.
Biarpun agak hairan dengan keputusan pengadil, Adli berikrar keputusan hari ini tidak meruntuhkan semangatnya.
"Ini kali pertama saya kembali bersaing dalam kancah amatur selepas tiga tahun.
"Perlawanan tadi berikan saya sedikit cabaran kerana perlu dapatkan tempo berlawan di peringkat amatur yang lebih tinggi daripada profesional.
"Lawan saya memberikan cabaran yang agak baik. Namun, keputusan pengadil memihak kepadanya walaupun saya lebih banyak berikan asakan dan tumbukan kepadanya.
"Itulah adat amatur tapi saya tidak boleh buat apa," kata Adli.
#Tinju #Adli Hafidz #Kejohanan Tinju Piala Malaysia