Tinju: Farkhan berisiko hilang semua tali pinggang

Muzaffar Musa
Ogos 16, 2020 19:44 MYT
Peninju profesional negara, Farkhan Haron, berdepan risiko kehilangan ketiga-tiga tali pinggang kejuaraan miliknya seandainya tidak dapat menyertai pertarungan sepanjang tahun ini berikutan pandemik COVID-19.
Jaguh negara itu, bagaimanapun, memiliki satu peluang terakhir untuk mengelakkan perkara itu sehingga penghujung tahun ini.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, peninju kelahiran johor itu berkata: "Saya memang kena lepaskan tali pinggang itu sebab sudah setahun (tanpa pertarungan).
"Ada peninju di negara-negara lain sudah memulakan latihan dan kejohanan.
"Jika kita tiada kejohanan, sudah pasti ia akan menjejaskan ranking dan saya terpaksa melepaskan tali pinggang saya kerana tidak berlawan.
"Secara peribadi memang saya mahukan perlawanan kerana kali terakhir saya beraksi adalah pada Disember lalu.
"Saya sepatutnya mempertahankan tali pinggang saya setiap enam bulan, jadi jika tiada perlawanan, ia akan menjejaskan ranking saya.
"Jadi, saya mahukan satu perlawanan untuk mengekalkan atau sekurang-kurangnya ranking saya tidak jatuh secara merudum.
"Sebab ada negara lain yang meneruskan perlawanan seperti di Thailand yang masih mengadakan perlawanan. Di Eropah juga sudah bermula.
"Jadi, kami agak ketinggalan daripada segi ranking.
"Jika perlawanan itu dapat diadakan, saya berharap dapat mempertahankan (gelaran).
"Sasaran saya adalah untuk mengekalkan gelaran IBA (Persekutuan Tinju Antarabangsa), saya perlu mempertahankannya untuk dua perlawanan seandainya mahu layak ke Kejuaraan Dunia," katanya.
#Tinju #Farkhan Haron
;