Tingkatkan penglibatan wanita dalam persatuan sukan -- MOM
Bernama
Julai 8, 2019 22:17 MYT
Julai 8, 2019 22:17 MYT
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggalakkan persatuan sukan kebangsaan mengambil kira penyertaan golongan wanita dalam struktur pentadbiran persatuan.
Naib Presiden MOM, Datuk Mumtaz Jaafar, berkata persatuan diminta mempertimbangkan sekurang-kurangnya seorang wakil wanita diberi peranan dalam persatuan tanpa mengira jawatan yang disandang.
“Kami bukan hendak lawan kaum lelaki. Niat saya hanya hendak bantu dan matlamat saya mahukan kesaksamaan gender dalam persatuan sukan.
"Kerajaan sekarang pun sudah percaya kepada kaum wanita," katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Wanita dan Sukan MOM, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Wanita MOM itu berkata faktor bukan atlet tidak boleh menjadi penghalang kepada individu yang ingin menyumbang bakti dalam persatuan sukan.
Katanya, cukuplah sekiranya seseorang itu mempunyai minat untuk memajukan persatuan serta sukan negara.
"Prestasi kerja yang bagus dapat mengubah persepsi terhadap wanita. Lepas dilantik, kenalah buat kerja tidak kira dengan siapa pun kita bekerja.
"Saya harap seminar ini dapat memberi keyakinan kepada kaum wanita untuk berada dalam persatuan dan maju ke depan," katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Waitchalla R R Suppiah,
yang merasmikan seminar itu berkata penglibatan wanita masih kurang sebagai pembuat keputusan dan sebagai pemimpin dalam organisasi sukan.
Beliau mencadangkan agar MOM membangunkan pangkalan data wanita untuk membantu organisasi sukan yang mencari wanita untuk mengisi kedudukan kepimpinan.
Buat masa ini, KBS dalam usaha membangunkan inisiatif baru untuk wanita dalam sukan, katanya.
-- BERNAMA