SUKAN LAIN

TID renang, terjun Sabah dapat sambutan hangat

Willie Jude 29/07/2019 | 13:02 MYT
Program Mengenal Pasti Bakat (TID) sukan renang dan terjun yang didakan di Kota Kinabalu dan Sandakan baru-baru ini, mendapat sambutan hangat.
Aktiviti berkenaan adalah di bawah Program Pelapis dan Bakat Negeri Sabah (PPBNS) yang dijalankan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dengan kerjasama Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA).
Pelaksanaan di Kota Kinabalu berlangsung di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, apabila membabitkan 21 murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya dan 29 lagi daripada SK Mutiara
Program berkenaan dikendalikan jurulatih, Eric Chan, bagi sukan renang dan Ag. Sharuddin Manis untuk sukan terjun.
Sementara itu, di Kolam Renang, Kompleks Sukan Sandakan pula, progam berkenaan dikendalikan bekas perenang Olimpik, Elvin Chia dan Mike Yee, dengan disertai 25 murid daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pui Gin.
Program TID itu melibatkan dua sesi, iaitu sesi pengenalan sukan renang dan belajar berenang untuk peserta, diikuti sesi taklimat untuk ibu bapa mengenai program pelapis dan bakat serta pengenalan sukan renang.
Pegawai Penyelaras Sukan, MSN Sabah, Christle Easther Michael, berkata pelaksanaan TID renang bertujuan untuk mencari bakat baru sebagai pendedahan awal untuk kanak-kanak, meningkatkan kemahiran menyelamat, menghilangkan rasa takut pada air serta meningkatkan keyakinan diri peserta.
"Program ini juga menekankan asas kemahiran dalam sukan renang, termasuk teknik pernafasan, pengapungan badan dan gaya-gaya renangan.
"Selain itu, dijelaskan juga berkenaan peralatan renang seperti pakaian, topi dan alat bantu renang serta fasiliti renang, termasuk perincian berkenaan kolam renang," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha SASA, Cynthia Chin, berkata pihak persatuan berharap program TID kali ini mampu melahirkan lebih ramai perenang berpotensi untuk mewakili Sabah dan negara.
"Kami (SASA) amat berterima kasih kepada MSN Sabah dan juga ibu bapa yang memberi kepercayaan untuk membawa anak-anak mereka menyertai program ini.
"SASA dan MSN Sabah sentiasa seiringan berusaha mempromosikan sukan akuatik sama ada sebagai aktiviti hidup mahupun menceburkan diri dalam pertandingan," katanya.
;