SEPAK TAKRAW
Tiba masa skuad sepak takraw ada rumah sendiri
Sokongan padu rakyat Malaysia yang membanjiri Stadium Titiwangsa sepanjang berlangsungnyaPiala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 yang berakhir pada Ahad lalu disifatkan luar biasa, sekali gus mencapai matlamat dan standard antarabangsa.
Ia juga membuktikan kemampuan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melaksanakan amanah Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan 20 negara lain dalam menjadi tuan rumah edisi keempat kali ini.
Melihat kepada kehadiran penyokong dan kemampuan PSM menganjurkan temasya sedemikian, pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat, berpandangan sudah tiba masanya sukan tradisi yang mempunyai pengaruh besar itu memiliki venue sendiri.
Iklan
“Saya tidak boleh bercakap atas kapasiti PSM tapi secara peribadi, Malaysia menerusi KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah sewajarnya memulakan hasrat baru untuk membina stadium sepak takraw serba lengkap di lokasi sesuai.
“Saya percaya apabila komuniti sepak takraw Malaysia mempunyai stadium yang lengkap dengan kemudahan sokongan lain, ia secara tidak langsung akan merancakkan pembangunan sukan ini pada masa depan.
“Malah, kewujudan stadium sepak takraw ini akan menjadi pemangkin kepada negara-negara lain menjadikannya sukan utama berdasarkan peningkatan prestasi permainan dari negara-negara yang menyertai Piala Dunia 2024 baru-baru ini,” katanya yang juga naib presiden PSM.
Sebagai rekod, Stadium Titiwangsa, yang merupakan stadium tertutup yang mampu menampung lebih 2,000 penonton dalam satu masa, merupakan venue acara bagi kejuaraan domestik kendalian PSM seperti Liga Sepak Takraw (STL) dan kejuaraan tempatan lain.
--Sinar Harian
Must-Watch Video