Tiada lagi atlet terjun wanita Islam dari Terengganu

King Hisyam
Ogos 26, 2024 19:08 MYT
Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) bersetuju untuk tidak lagi menghantar atlet terjun membabitkan wanita Islam dari negeri itu pada masa akan datang.
Dalam satu kenyataan ketika dihubungi oleh Astro Arena sebentar tadi, Setiausaha Agungnya, Lim Beng Kuan, mengesahkan bahawa PRAT telah mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak berkepentingan termasuklah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) pada Isnin.
Hasil perbincangan tersebut katanya, Terengganu akan hanya diwakili oleh atlet terjun lelaki selain daripada wanita bukan Islam.
Dalam masa sama, pihaknya juga turut memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang baru sahaja berakhir.
"Pihak kami turut memohon maaf atas kesilapan tersebut dan ia berlaku kerana kelemahan dan salah faham antara pihak kami dan kerajaan negeri," katanya.
PRAT juga menegaskan isu yang timbul sudah dianggap selesai secara harmoni diantara kesemua pihak.
Apa yang penting katanya, jalan penyelesaian sudahpun diputuskan demi masa depan atlet akuatik di negeri Terengganu.
#Terjun #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak #Persatuan Renang Amatur Terengganu
;