ARRC

Tiada istilah badi di Litar Suzuka -- Azlan

Penulis Jemputan 29/05/2018 | 10:26 MYT
Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, jelas seorang pelumba berjiwa kental apabila mengakui tidak trauma untuk berlumba di Litar Suzuka, Jepun bagi perlumbaan Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) bulan depan walaupun pernah dua kali ditimpa kemalangan di litar berkenaan.
Azlan melalui episod duka di Litar Suzuka apabila terbabit dengan kemalangan dalam perlumbaan ARRC pada 2016 dan 2017.
Insiden pertama paling buruk buat dirinya kerana kakinya patah selepas dilanggar rakan sepasukan, Ahmad Yudhistira dari Indonesia.
Ia menyebabkan pelumba Manual Tech KYT Kawasaki itu terlantar selama sebulan di hospital dan terpaksa beraya di Jepun ketika itu.
"Saya tidak berasa trauma di litar itu kerana sudah agak lama beraksi di sana. Cuma dalam dua tahun ini saya mengalami kemalangan.
"Lebih banyak pengalaman manis berbanding pahit. Yang pahit itu hanyalah kesakitan," ujar Azlan.
Nasib sama menimpa Azlan tahun lalu susulan ditimpa kemalangan dalam sesi kelayakan yang mengakibatkan dua tulang jari tangan kanannya retak.
Seolah-olah dihimpit badi di Litar Suzuka, Azlan bagaimanapun tidak resah untuk kembali ke venue itu bagi pusingan ketiga perlumbaan yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 Jun ini.
Azlan berlepas ke Jepun semalam dengan misi meraih kedudukan podium selepas menduduki tangga ketiga keseluruhan bagi kelas Supersports 600cc.
"Saya mengharapkan insiden parah seperti patah kaki atau jari seperti sebelum ini tidak berulang. Dapat menamatkan perlumbaan di podium dan tiada perkara buruk berlaku adalah harapan saya," tambahnya.
;