Skip to main content

Sepak Takraw

(Terkini) Final Piala Asia ASTAF: Thailand buat kemarau 34 tahun Malaysia berlarutan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

,a;aysia-kalah-final.jpg
Thailand memastikan kemarau 34 tahun Malaysia untuk menggenggam gelaran dalam acara regu berpasukan berterusan apabila menjuarai acara itu dengan kemenangan 2-0 dalam aksi final  Piala Asia ASTAF di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Menurunkan Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) sebagai regu pertama, skuad negara kelihatan tertekan sejak dari awal.

Dan tekanan yang dihadapi itu berganda apabila Azlan mengalami kecederaan lengan kiri gara-gara kesilapan sewaktu melakukan pendaratan pada pertengahan set pertama.

Azlan terpaksa beraksi dalam kesakitan dan kesilapan servis daripada Syahir yang kerap tersangkut di jaring dan umpanan Amirul Zazwan yang sering termasuk ke kawasan lawan menyaksikan regu negara tewas 11-15 dalam set pembukaan itu.

Situasi hampir sama berlaku pada awal set kedua, di mana dominasi servis Jakkrit Thinbangbon sukar dipatahkan pemain negara sehingga Syahir terpaksa dikeluarkan untuk digantikan dengan Zarif Marican Ibrahim Marican.

Bagaimanapun, kemasukan tekong itu masih tidak dapat mengubah nasib skuad negara dan Syahir kemudian dimasukkan semula ketika skuad negara ketinggalan empat mata di belakang 7-11.

Gaya permainan pasukan negara berubah mendadak untuk mengejar mata demi mata sehingga berhasil mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 15-12.

Seperi kebiasaan, Malaysia ketinggalan lagi pada permulaan set penentuan dan dalam usaha mengejar mata Azlan terpaksa mendapatkan rawatan tangan kirinya dan dia dilihat menahan kesakitan sehingga mengalirkan air mata.

Malaysia kemudian dapat mendahului 13-12 tetapi perlawanan sengit itu berakhir dengan kekalahan 15-17 untuk Thailand memperoleh mata pertama.

Skuad negara kemudian berusaha untuk menyamakan kedudukan dalam game kedua.

Membariskan Haziq Nizam (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam), Malaysia mendominasi awal set pembukaan, khususnya menerusi variasi servis Haziq.

Biarpun ada waktu mereka membenarkan Thailand untuk merapatkan mata melalui servis kencang Sittipong Kamchan, regu negara berhasil mencatatkan kemenangan 15-13.

Thailand jauh mendahului 12-6 dalam set kedua tetapi beregu negara bangkit mengejar mata 13-14 sebelum akur dengan kekalahan 15-13.

Aksi dalam set penentuan pula menyaksikan Thailand mendominasi penuh untuk bergelar juara dengan kemenangan 15-4.

Advertisement

Must Watch Video