Terjun Terbuka Malaysia: 'Terjunan selamat' Dhabitah-Ker Ying hadirkan tempat pertama
Najmi Iman
November 4, 2024 17:39 MYT
November 4, 2024 17:39 MYT
Nur Dhabitah Sabri-Ong Ker Ying berhasil meraih tempat pertama acara terjun 3 meter papan anjal seirama wanita dalam Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan kali pertama mereka menampilkan gandingan antara penerjun senior dan junior, sekali gus cemerlang mendominasi acara tersebut.
"Bagi saya dan Ker Ying, kami mahu melakukan terjunan selamat kerana pasangan saya mempunyai kecederaan dan saya tidak mahu memaksa.
"Sasaran utama adalan untuk tidak meletakkan tekanan yang terlampau tinggi.
"Harapan kami untuk menjadi lebih hebat memandangkan ia adalah gandingan pertama kami," kata Dhabitah.
Menurut Ker Ying, peluang beraksi bersama Olimpian negara itu memberikan pengalaman berharga buatnya untuk menampilkan persembahan terbaik demi memperoleh lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
"Sentiasa berfikiran positif ketika latihan dan pertandingan merupakan perkara paling penting selain banyak mempelajari sesuatu daripada Dhabitah," kata Ker Ying.
Sebagai rekod, pasangan tersebut berjaya mengumpul sebanyak 218.82 mata yang menewaskan pencabar terdekat dari Hong Kong, Leung Ka Sin-Wang Ziyi, yang berpuas hati menduduki tempat kedua.