Terjun Terbuka Malaysia: Hanis Nazirul masih sesuaikan diri acara papan anjal
Shaiful Shamsudin
November 1, 2024 19:29 MYT
November 1, 2024 19:29 MYT
Pemenang pingat emas Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia edisi lalu, Hanis Nazirul Jaya Surya, bakal beraksi dengan sisi berbeza apabila menyertai 3 meter papan anjal berbanding acara 10m platform seirama.
Dengan proses penyesuaian memasuki bulan ketujuh, Hanis mengakui tiada apa yang mudah untuk menguasai acara utamanya itu dan ada ketika dia melalui situasi agak kekok.
Hanis bakal beraksi dalam saingan papan anjal buat kali ketiga tahun ini dan menaruh harapan untuk menghasilkan terjunan yang memuaskan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hujung minggu ini.
"Agak sukar untuk menyesuaikan diri.
"Teknik di atas papan anjal berbanding platform yang menuntut skil berbeza.
"Kami mahu capai kualiti dengan markah mininum ditetapkan untuk layak dalam pemilihan ke Kejohanan Dunia," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Pemegang pingat emas 10 meter seirama platform sukan SEA 2017 itu juga menyasarkan untuk mengumpul 370 mata terkumpul sebagai syarat utama untuk kelayakan Sukan SEA Thailand tahun depan.