SUKAN LAIN
Terjun Siri Dunia: Mun Yee-Hanis Nazirul di tempat kelima
Kontinjen negara terus kempunan untuk menaiki podium apabila gandingan Leong Mun Yee-Hanis Nazirul Jaya Surya sekadar menamatkan aksi di tempat kelima acara 10 meter platform seirama campuran dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia 2019, hari ini.
Lapan gandingan turun mengambil bahagian pada hari kedua Kejohanan Dunia di Sagamihara, Jepun, itu.
Terjunan pertama menyaksikan pasangan negara berkenaan meraih 52.20 mata.
Namun, dua terjunan berikutnya, iaitu terjunan yang kedua dan kelima gagal menyumbang mata meyakinkan.
Begitupun, dalam darjah kesukaran yang agak tinggi, terjunan terakhir Mun Yee-Hanis menghasilkan mata terbaik dengan 69.12 mata untuk akur menamatkan saingan di tempat kelima.
Acara itu diakhiri dengan pingat emas menjadi milik pasangan China, Lian Jun Jie-Si Yajie, perak buat Nikita Shleikier-Lilia Tomoshina dari Russia manakala pasangan Jepun meraih gangsa.