SUKAN LAIN
Terjun Piala Asia: Syafiq raih emas pertama
Penerjun negara, Muhd Syafiq Puteh, meraih pingat emas pertamanya dalam Kejohanan Terjun Piala Asia bagi acara 1 meter papan anjal individu lelaki di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Penerjun kelahiran Perak itu berkata inilah kali kedua dia bertanding dalam Piala Asia selepas Macau 2017 di mana dia meraih perak dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama pasangannya, Nur Dhabitah Sabri.
"Ini emas pertama saya untuk Piala Asia yang kedua. Sebelum ini dapat perak dengan Nur Dhabitah. Jadi, hari ni saya masuk acara individu dan Alhamdulillah dapat emas.
"Saya berpuas hati dengan prestasi sendiri walaupun ada satu atau dua terjunan yang buat silap sikit tetapi akhirnya saya dapat konsisten," katanya kepada pemberita selepas acara itu.
Penerjun berusia 22 tahun itu mengumpul 356.50 mata untuk menguasai acara enam terjunan itu. Rakan senegara, Gabriel Gilbert, mengutip 299.10 mata di tempat kedua, diikuti penerjun Kuwait, Hasan Qali, gangsa dengan 268.20 mata.
Muhd Syafiq dan Gilbert juga akan bertanding dalam acara 3m papan anjal individu yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Ketika ditanya mengenai peluangnya layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Muhd Syafiq berkata dia perlu bertanding dengan dua penerjun senior, Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei, untuk merebut dua tempat yang tinggal bagi kategori lelaki.
“Semua hendak pergi Olimpik. Kalau tiada rezeki hendak buat bagaimana, saya akan fokus dahulu dalam Sukan SEA hujung tahun ini," tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Hanis Nazirul Jaya Surya, bertekad memberi keputusan lebih positif dalam acara 10m platform seirama campuran selepas hanya meraih perak bagi acara 10m papan anjal seirama lelaki.
"Bagi saya, terjunan tadi tidak memuaskan tetapi saya menjadikannya sebagai pengajaran. Namun, kami cuba lakukan yang terbaik memandangkan baru pulang daripada kejohanan sebelum ini, ditambah dengan kepadatan jadual yang mungkin membuatkan lebih penat," katanya.
-- BERNAMA