Skip to main content

Sukan SEA

Terjun Piala Asia 2019: Wendy intai keputusan positif

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wendy-ng-yan-yee.jpg
Penerjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee, optimis mampu meraih keputusan positif dalam Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, dari 6 hingga 8 September ini.

Penerjun berusia 26 tahun itu, yang sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, enggan meletakkan harapan tinggi lebih awal memandangkan penerjun dari, beberapa kuasa terjun dunia, termasuk China turut mengesahkan penyertaan dalam kejohanan berkenaan.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu memaklumkan kejohanan berkenaan merupakan medan pemanas badan untuknya sebelum menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina, 30 November hingga 11 Disember depan. 

"Saya tidak pasti acara apa yang saya akan sertai dalam Sukan SEA, namun saya difahamkan tiada acara platform akan dipertandingkan. 

"Namun, saya akan buat yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, ke atas skuad terjun negara, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah.

Sukan SEA 2019 bakal mempertandingkan 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Subic dan Clark.

Sementara itu, jurulatih terjun negara, Li Rui, mengumumkan bahawa tiga penerjun elit yang terdiri daripada Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Ooi Tze Liang akan menjalani latihan intensif selama sebulan di Sichuan, China, bermula Khamis ini sebagai persiapan ke Piala Terjun Asia 2019.

Jurulatih berusia 41 tahun dari China itu yang membimbing skuad terjun negara awal tahun ini berkata latihan adalah penting untuk meningkatkan prestasi tiga penerjun yang akan mengambil bahagian dalam acara papan anjal dalam kejohanan itu.

"Walaupun Pandelela dan Mun Yee layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, saya tetap mahu kedua-dua mereka ke China kerana saya difahami bahawa dua pesaing kami, China dan Korea Utara, juga akan mengambil bahagian dalam Piala Asia.

"Bagi Ooi, saya berharap dia dapat meningkatkan prestasinya sebelum kejohanna ," kata Rui.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video