GOLD COAST 2018
Terjun: Jasmine mahu cipta kejutan
Penerjun negara, Jasmine Lai Pui Yee, tidak kisah dengan perhatian yang kurang diberikan kepadanya sambil menjadikan ia sebagai motivasi utama untuk mencipta kejutan dalam Sukan Komanwel Gold Coast.
Tumpuan sememangnya kepada penerjun elit negara seperti Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong Pamg yang menjadi taruhan terbaik menuai emas dalam acara 10 meter platform seirama.
Bagaimanapun, jangan dilupakan penerjun seperti Jasmine yang bakal beraksi pertama kali dalam temasya ini memiliki misi peribadi tersendiri.
Dia bakal bertanding dalam dua acara individu, iaitu 1m dan 3m papan anjal, pada Jumaat dan Sabtu ini.
"Kalau boleh saya mahu masuk ke final. Kalau mampu, itu adalah pencapaian terbaik saya.
"Saya gembira kerana menyertai Sukan Komanwel. Ini tempat yang menarik dan saya akan lakukan yang terbaik," kata Jasmine.
Sementara itu, Ooi Tze Liang berkata penerjun negara sudah biasa dengan suasana di Pusat Akuatik Gold Coast kerana Siri Terjun Dunia pernah diadakan di sini, tahun lalu.
Walaupun kolam terjunan berada di tempat terbuka dan sedikit mencabar kerana berangin serta sejuk pada waktu malam, Tze Liang memberikan jaminan semua penerjun sudah berpengalaman menghadapi apa jua situasi.
"Kami boleh menyesuaikan diri dengan tempat dan cuaca di sini secepat mungkin.
"Jadi, kami boleh bersedia lebih awal untuk bertanding. Itu bagus untuk kami," kata Tze Liang.