Skip to main content

Sukan Lain

Terjun hilang daripada radar -- Sempat atau tidak ke LA 2028 nanti?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mas.jpg
Tahun 2012 saya ke Sukan Olimpik London dan menyaksikan bagaimana sukan terjun berjaya membutirkan pingat gangsa menerusi Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform individu.

Ia membangkitkan sejarah baru sukan terjun Malaysia kerana belum pernah sukan ini membutirkan pingat buat negara kita. 

Ia sekali gus, memecahkan dominasi badminton yang selama ini menjadi harapan tunggal Malaysia di temasya berprestij itu menggenggam pingat.

Sepanjang empat tahun selepas itu menuju ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, barisan penerjun-penerjun negara tidak henti mencipta kejayaan hebat terutamanya penerjun wanita.

Datuk Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee dan juga penerjun senior Datuk Leong Mun Yee bergilir-gilir mengharumkan nama Malaysia dan mereka disertai penerjun muda, Nur Dhabitah Sabri ketika itu.

Seperti diduga, Olimpik Rio memahat satu lagi sejarah ulung terjun apabila Datuk Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hong meraih pingat perak acara 10m platform seirama di Pusat Akuatik Maria Lenk.

Setahun selepas itu, sukan terjun terus menjadi perhatian dunia apabila Cheong Jun Hoong muncul juara dunia di Hungary pada 2017. Namun langit tidak selalunya cerah, terjun perlahan-lahan menjunam bersama awan mendung.

Olimpik 2020 Tokyo dan Olimpik 2024 Paris terjun pulang dengan tangan kosong. Pelbagai usaha dilakukan pihak berwajib.

Atlet terjun dalam program khas Podium dan kemudiannya Road To Gold (RTG) dijaga rapi namun tiada hasil. Akibatnya seorang demi seorang mengundurkan diri atau digugurkan atas pelbagai sebab.

Terbaru, nama Nur Dhabitah Sabri tercicir daripada senarai RTG dengan hanya meninggalkan atlet badminton, basikal trek dan angkat berat. Ia perlu dilihat sebagai cabaran kepada Pengarah Teknikal baru Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee, untuk mengubah senario ini.

Ayuh bangkitlah terjun! Los Angeles (LA) 2028 menggamit Malaysia datang!

Advertisement

Must Watch Video