SUKAN LAIN
Terjun Dunia: Kimberly dipertimbang jadi taruhan utama
Jurulatih terjun negara, Christian Brooker, mengesahkan Kimberly Bong sedang dinilai untuk membentuk gandingan acara 10 meter platform terjun seirama dalam misi meraih pingat dalam Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea Selatan, Julai depan.
Prestasi gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela Rinong dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA minggu lalu, belum cukup meyakinkannya.
Malaysia gagal meraih pingat walaupun acara itu sandaran utama dalam kejohanan utama, termasuk ketika meraih perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016.
Lantas, Brooker tidak menolak perubahan gandingan perlu dilakukan.
"Pemilihan Kimberly dalam acara platform terjun seirama adalah untuk tujuan menimba pengalaman kerana dia merupakan atlet pelapis yang boleh menjadi mentor kepada atlet pelapis masa depan.
"Terjunannya juga agak baik dan dia merupakan bintang dalam ciptaan.
"Tekniknya mirip dengan Pandelela, sebab itulah gandingan mereka nampak bagus," kata Brooker.
Tambahnya lagi: "Kami mempunyai penerjun yang lebih berpengalaman, cuma kami mahu mengenal pasti gandingan terbaik.
"Maka kami akan mengenal pasti penerjun yang memberikan persembahan terbaik dalam latihan."
Lebih menguatkan spekulasi itu, Pandelela dan Kimberly sudah pun berlepas ke China untuk menjalani program latihan khas menjelang Kejohanan Dunia.
Dhabitah pula akan berlepas selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, iaitu selepas senarai penerjun negara yang akan menyertai Kejohanan Dunia diumumkan.