GOLD COAST 2018
Terjun: Dhabitah, Kimberly layak ke final 3m papan anjal
Dua penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong, mara ke final 3 meter papan anjal sambil Jasmine Lai tersingkir dalam pusingan kelayakan Sukan Komanwel Gold Coast di Pusat Akuatik Optus, sebentar tadi.
Dhabitah melepasi pusingan kelayakan apabila menduduki tempat kesembilan dengan mengumpul 243.30 mata.
Bagaimanapun, dia kurang konsisten apabila meraih mata rendah dalam tiga terjunan awal.
Iklan
Hanya terjunan terakhir menerusi 'forward two and half somersaults 1 twist' memberikan mata lebih tinggi -- 63.00 mata -- untuknya dan secara tidak langsung meletakkannya dalam kelompok 12 terbaik bagi melayakkan diri ke final malam ini.
Dhabitah mengakui kelemahan itu tidak sepatutnya berlaku dan berharap mampu mempamerkan aksi lebih baik apabila bersaing di peringkat akhir nanti.
"Badan tidak dapat lakukan apa yang saya mahu, otak fikir lain tetapi reaksi badan menjadi lain. Saya tidak tahu untuk menjelaskannya dan tidak faham.
"Alhamdulillah, saya ke final dan akan cuba sampai ke aksi terakhir," ujar Dhabitah.
Kimberly juga diganggu aksi kurang kemas dalam terjunan pertama dan kedua sebelum meraih mata lebih baik dalam tiga terjunan terakhir bagi mengumpul 223.75 mata.
"Pesaing kali ini sangat hebat, jadi saya duduk menyendiri dan tidak melihat kepada papan mata. Hanya naik ke atas dan cuba yang terbaik," kata Kimberly.
Jasmine terpaksa akur apabila terjunannya tidak menjadi untuk menduduki tempat tercorot dengan jumlah 202.80 mata.
"Saya agak sedih kerana tidak beraksi dengan baik pada hari ini. Secara keseluruhan, terdapat beberapa terjunan yang tidak baik," tambah Jasmine.
Sementara itu, penerjun lelaki negara, Chew Yiwei, turut mara ke final 10m platform individu apabila menamatkan aksi pusingan kelayakan di tempat keenam dengan mengumpul 382.55 mata.
Yiwei pada awalnya tiada masalah untuk mencatat mata terbaik dalam dua terjunan awal tetapi aksinya sedikit tergugat dengan keadaan angin yang makin kuat dalam terjunan kelima yang menjejaskan pungutan mata.
Rakan senegara, Jellson Jabilin, bagaimanapun, menarik diri akibat kecederaan belakang sewaktu beraksi dalam 10m platform seirama, semalam.
Must-Watch Video