Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Vietnam: Irfan tarik diri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

24717irfanshamsudin.jpg
Atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, menarik diri daripada menyertai Kejohanan Terbuka Vietnam bermula Khamis ini bagi mengelak kecederaan pinggang yang dialaminya bertambah serius, sekaligus mampu menjejaskan peluangnya mempertahankan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Irfan tidak berani mengambil risiko terhadap kecederaan pinggangnya dan memberikan tumpuan kepada sesi pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN). 

Atlet kelahiran Negeri Sembilan ini menarik diri daripada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dan terbaru, Terbuka Vietnam, kerana mengalami kecederaan selepas menyertai Kejohanan Trek dan Padang Asia, tiga minggu lalu.

"Menurut nasihat pegawai kesihatan dan jurulatih, saya perlu menjalani proses pemulihan di ISN sehingga pulih sepenuhnya," kata Irfan.

Irfan sepatutnya tidak memiliki sebarang masalah untuk mempertahankan emas Sukan SEA.

Dia menghuni ranking pertama di Asia Tenggara dengan catatan 62.55m yang juga merupakan rekod kebangsaan.

Ketiadaan Irfan menyaksikan tumpuan di Vietnam bakal terarah kepada jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli.

"Saya berasakan ia  satu keputusan yang tepat buat saya berehat sehingga Sukan SEA. Saya enggan mengambil risiko bagi memastikan saya tidak cedera sehingga bulan hadapan."

Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam ini merupakan pentas terakhir atlet negara mempertingkat prestasi sebelum menghadapi temasya KL2017.

Ia akan berlangsung pada Khamis dan Jumaat ini di Bandaraya Ho Chi Minh.

Advertisement

Must Watch Video