Maria Sakkari mengatasi tekanan sabagai pilihan utama buat kali pertama dalam satu kejohanan Jelajah WTA untuk kini hanya dipisahkan dengan satu kemenangan bagi melayakkan diri ke final Kejohanan Tenis Terbuka Wanita St Petersburg.

Pemain nombor tujuh dunia dari Greece itu berdepan cabaran sengit daripada Elise Mertens sebelum merakamkan kemenangan 7-6, 6-2 untuk ke separuh akhir awal pagi tadi.

Sakkari terpaksa mengatasi tiga mata akhir dalam set pertama sebelum mengungguli penentuan tie-break.

Walaupun mendahului dengan selesa dalam set kedua, dia gagal memanfaatkan tiga mata akhir sebelum mengesahkan tempat dalam penentuan ke final malam ini.

Kali terakhir Sakkari, 26, layak ke separuh akhir di St Petersburg adalah pada 2020, di mana dia kemudian tewas kepada Elena Rybakina.

"Apabila anda ketinggalan, anda mencuba untuk bermain lebih agresif dan Elise bermain dengan amat baik dalam beberapa game terakhir.

"Dia melakukan beberapa servis yang baik dan kukuh daripada garisan belakang. Saya hanya berusaha dengan gigih," kata Sakkari selepas kemenangan itu.

Seterusnya, Sakkari akan berdepan Irina-Camelia Begu bagi penentuan ke final.