WTA
Terbuka San Diego: Swiatek raih kemenangan ke-62 musim ini
Pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek, menewaskan Coco Gauff dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka San Diego hari ini, sekali gus mara ke separuh akhir Kejohanan Jelajah WTA buat kali ketiga berturut-turut.
Swiatek ternyata tidak dapat ditandingi lawan dari Amerika Syarikat (AS) berusia 18 tahun itu apabila mencatatkan kemenangan dominan 6-0, 6-3 dalam masa 66 minit, sekali gus melebarkan rekod kemenangannya kepada 4-0 ke atas Gauff.
Pilihan utama itu memenangi lapan game pertama dan sentiasa mengawal permainan sambil pukulan terusnya kerap menjadi senjata utama.
Swiatek memperoleh 13 winner dengan hanya melakukan sembilan 'unforced error' dan mematahkan lima servis Gauff.
Kemenangan itu merupakan yang ke-62 buat Swiatek sepanjang musim ini, sekali gus menghampiri rekod 63 kemenangan yang dilakukan Angelique Kerber pada 2016.
Swiatek akan berdepan pemain pilihan keempat, Jessica Pegula, dalam separuh akhir bagi memburu gelaran WTA kelapannya musim ini.