Skip to main content

Tenis

Terbuka Rotterdam: Pilihan utama tersungkur

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

medvedev.jpg
Pilihan utama, Daniil Medvedev, tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Rotterdam selepas ditundukkan Vasek Pospisil, sebentar tadi.

Medvedev -- finalis Terbuka Amerika Syarikat 2019 - yang beraksi dalam perlawanan pertamanya sejak kekalahan lima set kepada Stan Wawrinka dalam Terbuka Australia, bagaimanapun gagal menjelmakan persembahan yang sama.

Sebaliknya, dia hanya berjaya melakukan satu 'break point' sahaja dalam enam kesempatan ketika Pospisil meraih kemenangan 6-4, 6-3.

Pilihan keenam, Roberto Bautista Agut, turut dilanda kejutan apabila rakan senegaranya, Pablo Carreno Busta, melakar kemenangan 6-4, 2-6, 7-6 (7-4) dalam pusingan kedua.

Berikutan Medvedev dan Bautista Agut sudah terkeluar daripada saingan, ia mencerahkan peluang Felix Auger-Aliassime untuk memenangi gelaran perseorangan ATP pertamanya sejurus mengetepikan Grigor Dimitrov 6-4, 6-2.

Biarpun ranking Auger-Aliassime -- kedudukan ke-21 dunia -- lebih tinggi daripada Dimitrov, sesetengah pihak menjangkakan pemain Bulgaria itu bakal merangkul kejuaraan berkenaan.

Pemain Kanada berusia 19 tahun itu menguasai permainan dengan mematahkan servis kedua Dimitrov, yang melakukan 27 kesilapan, untuk mara ke suku akhir.

Daniel Evans juga akan menyertainya selepas pemain Britain itu bangkit mengalahkan Karen Khachanov 4-6, 6-3, 6-4.

Gael Monfils, David Goffin dan Gilles Simon turut melolosi pusingan pertama namun saling memperagakan persembahan yang berbeza.

Pilihan ketiga, Monfils, mudah melepasi halangan Joao Sousa 6-3, 6-2 sementara pilihan keempat, Goffin, dipaksa bangkit untuk mengalahkan Robin Haase 3-6, 7-6 (7-5), 6-4.

Simon pula terselamat dalam aksi goyah set kedua dalam kemenangan 7-6 (7-3), 3-6, 6-3 ke atas Mikhail Kukushkin.

Jannik Sinner juga mara ke pusingan kedua yang menyaksikan pemain berusia 18 tahun itu menempah laluan ke peringkat seterusnya susulan tindakan Radu Albot yang menarik diri akibat kecederaan bahu.

Editor: Shaiful Shamsudin

Advertisement

Must Watch Video