Perebutan juara keseluruhan wanita kini semakin sengit dengan saingan hebat di antara Zaidatul Husniah Zukifli serta Nurul Ashikin Abas yang masing-masing telah mengumpul 106 mata dalam Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V hari ini.

Legasi ratu pecut wanita negara yang dicipta G Shanti pada 7 Mei 1993 dengan catatan 11.50 saat akhirnya dilebur Zaidatul Husniah dengan catatan baru 11.49 saat!

"Saya sudah 31 tahun, saya nak buktikan yang usia sebegini boleh buat catatan ini.

"Yang penting adalah usaha, jangan salahkan umur. Tengok sahaja atlet negara lain yang boleh buat walaupun pada 35 tahun.




"Saya tak hendak pemikiran Malaysia macam itu. Sudah tentu saya perlu berusaha untuk sampai ke tahap ini.

"Terima kasih kepada jurulatih yang selalu beri sokongan, walaupun kena marah tapi saya tetap buat yang terbaik untuk mereka," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (11.91s) dan Azreen Nabila Binti Alias (12.00s) yang mewakili Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melengkapkan podium.

Sementara itu, Ashikin memecah rekod peribadi terbaiknya dengan catatan 13.44 meter dengan mengatasi catatan peribadi terbaik sebelum ini iaitu 13.36 meter yang dicipta dalam Kejohanan Inter College, Mei lalu.

Selepas pencapaian terbaru ini, kedua-dua wanita masih terikat di puncak kedudukan keseluruhan dengan 126 mata berbaki satu lagi super series di Sarawak pada 8 hingga 8 November depan.

"Saya akan buat sebaik mungkin. Ini penyertaan terakhir saya sebelum menjalani pemulihan kecederaan dan ia menjadi motivasi buat saya," katanya pula.