SUKAN LAIN

Terbuka Perancis: Tertekan punca Osaka tersingkir

Penulis Jemputan 01/06/2019 | 22:02 MYT
Naomi Osaka mengakui berada dalam keadaan tertekan beraksi dalam Terbuka Perancis tetapi berpandangan kekalahan dalam pusingan ketiga kepada Katerina Siniakova merupakan perkara terbaik buat dirinya.
Osaka hadir ke Roland Garros selaku pemain nombor satu dunia dan pemenang Terbuka AS dan Australia tetapi kelihatan longlai ketika beraksi di Gelanggang Suzanne-Lenglen apabila tumpas 6-4, 6-2 kepada wakil dari Republik Czech itu.
Ditanya jika gementar merupakan sebahagian daripada faktor kekalahannya di Paris, Osaka berkata, "Ya, ia mempengaruhi tetapi saya tidak mahu memberi alasan itu.
"Semestinya, saya berasakan beraksi dalam kejohanan kali ini agak berbeza kerana turun selaku pemain nombor satu dunia. Saya dapat berasakan tekanan yang perlu dipikul.
"Selalunya saya lebih bebas dan menikmati perlawanan dan kali ini suasana seperti tertekan perlu saya harungi.
"Saya berasa sangat penat daripada perlawanan terdahulu," katanya.
Kekalahan itu menyaksikan berakhirnya peluang buat pemain berusia 21 tahun itu dalam usaha menggondol kesemua gelaran Grand Slam untuk tahun ini tetapi Osaka optimis akan kembali ke tahap terbaik dalam saingan Wimbledon.
"Kekalahan ini adalah suatu perkara positif yang berlaku kepada saya.
"Saya berasakan jadual pertandingan yang sangat padat dan sememangnya bukan mudah untuk menjuarai kesemua gelaran. Jika tidak, sudah tentu terdapat pemain yang telah berjaya melakukannya.
"Saya akan kembali berlatih dan bangkit dalam kejohanan seterusnya."
;