TENIS
Terbuka Perancis haramkan alkohol di Roland-Garros
Penonton Kejohanan Tenis Terbuka Perancis tidak lagi dibenarkan membawa masuk alkohol ke tempat duduk mereka, demikian tegas pengarah kejohanan itu, Amelie Mauresmo.
Keputusan itu diambil berikutan kelakuan tidak terkawal dalam kalangan penonton selepas beberapa insiden yang berlaku di Roland-Garros minggu ini.
Juara bertahan kategori wanita, Iga Swiatek, terpaksa memohon penonton untuk senyap ketika permainan berjalan sewaktu dia menewaskan Naomi Osaka dalam pusingan kedua.
Iklan
David Goffin pula diludah dengan gula-gula getah sewaktu menewaskan Giovanni Mpetshi Perricard.
Walaupun alkohol masih boleh didapati di ruang legar kawasan itu, Mauresmo berkata akan ada langkah keselamatan yang lebih ketat untuk mengenal pasti pesalah sambil pengadil digalakkan untuk bersikap lebih tegas untuk mempertahankan kehormatan "pemain dan permainan".
"Pertama sekali, kami gembira apabila orang ramai sangat bersemangat menonton tenis dan menjadi sebahagian daripada perlawanan, menunjukkan perasaan dan emosi," kata pengarah kejohanan itu.
"Tetapi sudah pasti ada kelakuan yang tidak sepatutnya melampaui batasan. Beberapa perkara perlu diperbetulkan. Alkohol sebelum ini dibenarkan di tempat duduk tetapi tidak lagi sekarang."
Must-Watch Video