Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, menganggap penganjuran Kejohanan Olahraga Siri Super 1 di Johor telah memberikan impak yang positif buat sukan olahraga negara.
Menerusi Nadi Arena, Robert menjelaskan antara perkara-perkara yang menarik perhatian ramai serta memupuk semangat barisan atlet olahraga di Malaysia untuk terus giat dalam sukan tersebut malah menggunakan peluang ini sebagai batu loncatan untuk ke peringkat lebih tinggi.
"Perkara yang sangat menarik untuk dilihat ialah setiap atlet mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk merebut gelaran, membuktikan kemampuan untuk menjadi dalam kalangan yang terbaik.
"Siri itu sangat bagus kerana ia memberi pendedahan setara kejohanan peringkat tertinggi kepada atlet. Ia sepatutnya membantu atlet untuk menjadi lebih bagus.
"Jadi, saya menyarankan supaya meraih seberapa banyak pengalaman yang boleh dicari."
Ditanya mengenai penganjuran di Perak, Robert berkata, "Saya mahu menyaksikan banyak kejutan berlaku."
Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar, kembali beraksi dalam acara lompat kijang dalam saingan Kejohanan Olahraga Siri Super Terbuka Perak selepas turun beraksi dalam acara lompat jauh ketika bersaing di Johor.
Atlet berusia 24 tahun itu, menyatakan hasrat ingin mendapatkan kembali rentak dalam acara kegemerannya itu untuk melakar rekod yang lebih baik.
"Saingan seterusnya mungkin akan disertai oleh ramai atlet remaja yang sedang menunjukkan prestasi masing-masing. Namun, ia tetap memberi cabaran dan saya takkan mengambil mudah akan hal itu.
"Secara keseluruhan, saya terpaksa akur bahawa keputusan saya sebelum ini kurang memberangsangkan dan saya berharap untuk lakukan yang terbaik di siri seterusnya," katanya.
Najmi Iman
Wed May 08 2024