Zaidatul Husniah Zulkifli terus mengukuhkan reputasinya sebagai ratu pecut negara apabila mengungguli final acara 100m Terbuka Perak Cahya Mata Sarawak Super Series II dengan catatan masa 12.02 saat.

Ia menyaksikan Zaidatul Husniah mengatasi pelari muda, Nur Afrina Batrisyia Rizal, yang muncul peserta kedua terpantas dengan catatan 12.16s.

"Kita tahu dia (Nur Afrina Batrisyia) masih muda dan jika dia dapat catatan 12.16s itu sudah cukup bagus untuknya," kata Zaidatul Husniah kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

"Bagi saya, apabila dia berlumba dengan saya, ia akan menjadi satu pendedahan untuknya kerana jika kita mahu mendapatkan catatan terbaik, kita perlu bersaing dengan pelari yang lebih baik.

"Bagi saya, Afrina sudah memberikan saingan yang baik buat saya," katanya.

Dalam pada itu, Haiqal Hanafi membuktikan dia masih yang terbaik dalam kategori lelaki apabila menjuarai perlumbaan akhir itu dengan catatan 10.48s.

Seorang lagi pelari elit negara, Jonathan Nyepa, muncul kedua terpantas dengan 10.58s.