TENIS
Terbuka Miami: Swiatek calon utama pemain nombor satu dunia
Bekas juara Terbuka Perancis, Iga Swiatek, semakin hampir ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia berikutan persaraan mengejut Ashleigh Barty apabila meraih kemenangan 6-2, 6-0 ke atas Viktorija Golubic dalam Terbuka WTA Miami, pagi tadi.
Swiatek, yang masih segar memenangi acara WTA 1000 di Indian Wells dan Doha, melakar kemenangan ke atas pencabar dari Switzerland itu dalam masa 1 jam 14 minit.
Pemain Poland berusia 20 tahun itu yang memenangi Terbuka Perancis pada 2020 dan mara ke separuh akhir Terbuka Australia tahun ini secara rasminya akan menjadi pemain di ranking teratas apabila ia dikemas kini pada awal bulan depan.
Nama Barty akan digugurkan daripada ranking itu atas permintaannya selepas mengumumkan persaraan mengejutnya pada usia 25 tahun, awal minggu ini sungguhpun memenangi gelaran Grand Slam Terbuka Australia tahun ini dan Terbuka Wimbledon tahun lalu.
Swiatek, 20, menjadi pemain wanita ke-28 yang mencapai puncak ranking WTA dan termuda sejak Caroline Wozniacki pada 2010. Dia juga bakal menjadi pemain nombor satu yang pertama dari Poland dalam sejarah tenis.
Dia melanjutkan rentaknya kepada 12 perlawanan ketika menentang Golubic selain menjadi kemenangan ke-21 buatnya yang merupakan pencapaian tertinggi dalam jelajah tahun ini.
Dia mempamerkan ketangkasannya apabila menyelamatkan lapan daripada sembilan break point dan memanfaatkan enam daripada sembilan gilirannya.
Pilihan kelima, Paula Badosa, yang juga mengintai ranking utama dunia turut lolos ke pusingan ketiga apabila menewaskan Marie Bouzkova 7-5, 7-5 dalam masa 2 jam 3 minit.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.