WTA
Terbuka Miami: Cirstea kejutkan Sabalenka untuk ke separuh akhir
Pemain nombor 74 dunia, Sorana Cirstea, mencipa kejutan dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Miami apabila menewaskan juara Terbuka Australia 2023, Aryna Sabalenka, secara set langsung hari ini.
Pemain Romania berusia 32 tahun itu mencatatkan kemenangan 6-4, 6-4 ke atas lawan dari Belarus berkenaan untuk mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf WTA-1000 buat kali pertama sejak sedekad lalu -- kali terakhir dalam Kejohanan Terbuka Kanada di Toronto pada 2013.
Pemain nombor dua dunia, Sabalenka, turun dalam kejohanan kali ini dengan diletakkan sebagai pilihan utama selepas Iga Swiatek menarik diri.
Bagaimanapun, Cirstea menamatkan cabaran Sabalenka hanya dalam tempoh sejam dan 27 minit, sekali gus meneruskan rentak cemerlangnya di Miami, di mana dia masih belum melepaskan sebarang set selepas lima perlawanan.
Cirstea seterusnya akan menantikan pemenang di antara Petra Kvitova dan Ekaterina Alexandrova bagi penentuan ke final.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.