Terbuka Langkawi: Pasukan bertaraf dunia serikan penganjuran

Penulis Jemputan
April 9, 2019 16:39 MYT
Kejohanan Bola Tampar Pantai Jelajah Dunia Terbuka Langkawi anjuran Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) akan menyaksikan penyertaan pasukan terunggul dari serata dunia.
Dengan menyajikan saingan kategori lelaki dan wanita, edisi tahun ini akan dilangsungkan di Pantai Tengah, Pulau Langkawi selama empat hari bermula Khamis ini.
"Selepas saingan sengit dalam edisi tahun lalu, kami yakin peminat dan penonton akan dapat menyaksikan aksi yang mendebarkan tahun ini.
"Setelah menempatkan Terbuka Langkawi sebagai salah satu kejohanan penting dalam kalendar Jelajah Dunia FIVB, kami teruja untuk menyaksikan edisi 2019 ini yang akan disertai atlet antarabangsa terunggul dari beberapa negara bola tampar pantai terkuat di dunia.
"Kami menjangkakan aksi yang menarik untuk peminat dan penonton," kata Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd, Andrew Ching, selaku pihak penganjur.
Antara negara yang menyertai kategori lelaki ialah Afrika Selatan, Australia, Austria, Colombia, Hungary, Iran, Jepun, Kanada, Kazakhstan, Latvia, Norway, New Zealand, Poland, Russia, Ukraine dan tuan rumah, Malaysia.
Kategori wanita pula akan menampilkan pasukan dari Amerika Syarikat, Belanda, Greece, Hong Kong, Hungary, Jerman, Jepun, Kanada, Latvia, New Zealand, Romania, Russia, Sweden, Switzerland, Thailand, Ukraine dan Malaysia.
Dengan FIVB sebagai badan pentadbir bagi acara bola tampar dalam Sukan Olimpik, Terbuka Langkawi adalah sebahagian daripada kejohanan Jelajah Dunia 1-Star (WT1) dan kejuaraan dalam kejohanan ini boleh dianggap sebagai pengiktirafan tertinggi dalam bola tampar pantai di peringkat antarabangsa.
Di samping mata ranking, setiap peserta juga berpeluang untuk merebut wang hadiah berjumlah AS$10,000 (RM40,950).
;