SUKAN LAIN

Terbuka Kuala Lumpur: Khairul Hafiz lega pamer kebangkitan

Penulis Jemputan 03/08/2019 | 11:21 MYT
Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, membuktikan dia masih lagi taruhan terbaik Malaysia untuk mempertahankan pingat emas 100 meter Sukan SEA Filipina selepas mencatat masa terbaik musim ini, 10.50 saat, ketika menjuarai Terbuka Kuala Lumpur 2019 hari ini.
Kebangkitan jelas dipamerkan Khairul Hafiz selepas melalui musim 2019 yang agak suram tatkala catatan catatan 10.50s yang dilakukan di Bukit Jalil itu membolehkannya memecahkan rekod kejohanan 10.57s.
Situasi itu membuatkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu lega kerana kembali menemui rentak, sekali gus menjadi pemangkin untuknya mempertahankan status raja pecut di Manila, November depan.
"Alhamdulillah, saya dapat memperbaiki catatan 10.70s kepada 10.50s. Ia adalah petanda yang baik dan saya melakukan larian tanpa sebarang masalah di bahagian kaki. Saya perlu berusaha lebih keras selepas ini," katanya.
"Saya lega kerana sesi latihan selama enam minggu membuahkan hasil dan menjelang saingan Terbuka Malaysia dua minggu lagi, saya perlu berusaha lebih keras."
Sementara itu, Siti Zubaidah Adabi mengetepikan masalah peribadi untuk menjuarai final 100m wanita dengan catatan 12.57 saat.
Meskipun berdepan beberapa cabaran, termasuk terpaksa menjaga anak yang sakit di hospital selain menyertai acara lompat jauh, pelari kelahiran Johor itu tetap berjaya meraih emas.
Bagaimanapun, dia hanya mengutip gangsa bagi acara lompat jauh tatkala R. Kirthana meraih emas selepas catatan 6.15m yang dilakukan mencipta rekod baru kejohanan dan Shahidatul Nadia Mohd Zuki meraih perak.
;