SUKAN LAIN
Terbuka Kuala Lumpur: Iskandar tekad rebut peluang terakhir
Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, masih meletakkan secebis harapan untuknya berpeluang menggalas cabaran dalam Sukan Asia Indonesia 2018 dengan menjadikan Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok sebagai medan terakhir untuknya membuktikan prestasi terbaik.
Iskandar merupakan antara tiga atlet olahraga yang digugurkan dalam temasya Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 Septemer depan selain atlet baling tukul besi, Jackie Wong, dan pelari 110 meter berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian.
Namun, dia tidak menganggap keputusan berkenaan satu pengakhiran dengan tetap mengintai peluang untuk cuba memperbaiki catatan lebih baik dalam Terbuka Kuala Lumpur dengan sasaran melebihi lompatan 5.31 meter yang merupakan rekod kebangsaan miliknya.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 berkenaan sememangnya sudah menjangka peluang tipis untuk dihantar ke Sukan Asia ekoran diletakkan dalam kategori B.
"Kalau saya dapat mengatasi rekod kebangsaan, dari situ kita boleh nampak perubahan prestasi saya setelah menukar jurulatih.
"Kalau tidak dapat melakukannya sekalipun, saya tidak rugi apa-apa," ujar Iskandar.
Jackie pula masih belum dimaklumkan apa-apa mengenai pengguguran namanya selain akur dengan sebarang keputusan kerana sedar prestasi tidak menentu ketika di hantar ke Korea Selatan, Jun lalu.
"Saya sudah menjangkakan nama akan digugurkan kerana sudah dimaklumkan kemungkinan hanya atlet yang diletakkan dalam kategori A yang akan menyertai Sukan Asia.
"Memang benar saya telah diberi peluang untuk memperbaiki catatan apabila dihantar ke Korea Selatan, cuma di sana saya diberi tempoh 10 hari sahaja untuk melaksanakannya," kata Jackie.