Juara bertahan Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu, tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas 6-3, 6-3 kepada Alize Cornet hari ini.
Raducanu bergelut ketika melakukan servis dan pukulan rendah sepanjang perlawanan menentang wakil Perancis berkenaan.
Dia memenangi hanya 40 peratus (10 daripada 25) mata servisnya dalam set pertama selain melakukan 18 'unforced error' ketika memenangi tujuh winner dan tiga kali servisnya dipatahkan lawan.
Berdasarkan rakaman yang menunjukkan dia mengalami kecederaan tangan dalam sesi latihan sebelum ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Raducanu beberapa kali terpaksa menjalani rawatan di tepi gelanggang sepanjang perlawanan itu.
Pemain berusia 19 tahun berkenaan juga sedang menghadapi satu musim suram, di mana kali terakhir dia memenangi tiga perlawanan berturut-turut adalah dalam Terbuka AS tahun lalu.
Cornet, dalam pada itu, akan bertemu Katerina Siniakova dalam pusingan kedua esok.
Muzaffar Musa
Wed Aug 31 2022