Atlet lompat jauh negara, Andre Anura, memastikan kehadiran Datuk Abdul Latif Romly menjadi pencetus semangat buat dirinya meraih emas dalam acara lompat jauh dalam Kejohanan Terbuka Johor Super Series 1, hari ini.

Ia berikutan dia kini tidak memiliki rakan sepelatih yang kompetitif membuatkan dirinya sukar untuk meningkatkan catatan terbaik lompatannya.

Dalam lompat kedua hari ini dia berjaya merekodkan lompatan sejauh 7.14 meter justeru memastikan emas miliknya untuk menghadirkan keceriaan terhadap dirinya sebagai persiapan menuju Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun pada bulan hadapan.

"Memang betul ketika ini saya berlatih secara sendirian untuk meningkatkan prestasi saya dalam latihan.

"Jika sebelum ini terdapat Hakimi Ismail yang dapat memberikan saingan diantara satu sama lain tetapi tanpa dia agak sukar kerana hanya saya seorang sahaja senior dalam lompat jauh.

"Bukan mudah untuk saya berlatih tanpa rakan yang kompetitif, tetapi hari ini dengan kehadiran Datuk Latif Romly banyak memberi saingan tetapi saya berpuas hati dengan prestasi saya hari ini." katanya.