TENIS

Terbuka Charleston: Bencic atasi Jabeur di final

Ammar Hakim 11/04/2022 | 01:21 MYT
Belinda Bencic meneruskan prestasi cemerlangnya di Amerika Syarikat apabila dia menewaskan pemain nombor 10 dunia, Ons Jabeur, 6-1, 5-7, 6-4 untuk memenangi Terbuka Charleston.
Kejayaan semalam menjadikan 10 kemenangan daripada 11 perlawanan terakhirnya untuk Bencic, dengan kekalahan tunggal berlaku pada separuh akhir menentang Naomi Osaka di Terbuka Miami.
Pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 itu cemerlang di set pertama apabila menang 6-1.
Bagaimanapun set kedua lebih kompetitif apabila permainan Jabeur kembali bertambah baik, wakil Tunisia itu turut menyelamatkan enam daripada lapan mata break point untuk memaksa penentuan.
Bencic berjaya unggul di set ketiga, apabila mempamerkan permainan berkualiti sebelum merekodkan kemenangan 6-4.
Jabeur menjadi pemain di ranking 10 teratas kedua yang diatasi Bencic dalam kejohanan ini selepas turut menewaskan pemain nombor tiga dunia, Paula Badosa, dalam tiga set pada suku akhir.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
;