TENIS

Terbuka Australia: Pemain kurang ternama gagal gugat Sharapova, Nadal

Penulis Jemputan 17/01/2019 | 04:28 MYT
Maria Sharapova tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pemain kurang ternama, Rebecca Peterson, menerusi kemenangan straight set sementara hasrat pemain tuan rumah, Matthew Ebden, untuk mencipta kejutan dengan mengatasi Rafael Nadal tidak kesampaian dalam Kejohanan Grand Slam Terbuka Australia, malam tadi.
Berbekalkan semangat dan sokongan padu penyokong tempatan, Ebden tetap gagal menyaingi kehebatan jaguh dari Sepanyol itu apabila ditundukkan 3-6, 2-6, 2-6.
Nadal tidak berdepan masalah untuk konsisten sejak awal saingan dalam aksi yang berlangsung di Arena Rod Laver itu.
Turut mengesahkan tempat ke pusingan ketiga ialah pilihan ke-20 kejohanan, Grigor Dimitrov, yang menewaskan Pablo Cuevas.
Dimitrov, yang bergelut dalam dua set pertama, bagaimanapun bangkit untuk mara dengan kemenangan 6-3, 6-7, 6-3, 7-5.
Sementara itu, melangkah ke pusingan ketiga bagi saingan wanita ialah juara 2008, Sharapova.
Berdepan lawan tidak terbilang dari Sweden, pemain kelahiran Russia itu menang mudah 6-2 dalam set pertama sebelum momentum sama diteruskan untuk kemenangan 6-1 dalam set kedua bagi menempah pertemuan seterusnya dengan Harriet Dart dari Britain.
Keputusan lain menyaksikan Roberto Bautista, Fernando Verdasco, Marin Cilic, Angelique Kerber dan Petra Martic turut mara ke pusingan seterusnya.
;