Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Djokovic tidak sangka dapat layak ke final ke-10 di Melbourne

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

novak-djokovic.jpg
Novak Djokovic berkata bahawa dia tidak pernah membayangkan akan beraksi dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Australia buat kali ke-10 selepas memenangi gelaran pertama di Melbourne Park 15 tahun lalu.

Pemain legenda Serbia itu berpeluang untuk menyamai rekod 22 gelaran grand slam terbanyak bagi pemain perseorangan lelaki selepas menewaskan Tommy Paul 7-5, 6-1, 6-1 dalam separuh akhir semalam.

Djokovic telah memenangi sembilan gelaran perseorangan lelaki di Melbourne sejak kali pertama melakukannya pada 2008 dan kini, hanya Stefanos Tsitsipas akan menjadi penghalangnya untuk meraih kejuaraan ke-10 di venue itu.

"Saya memiliki imaginasi yang amat jelas dan kuat tetapi tidak pernah menyangka ia akan menjadi seperti ini," katanya dalam sesi temu bual atas gelanggang di Arena Rod Laver.

"Saya berasa amat dirahmati dan bersyukur, saya cuba meraikan dan menikmati setiap momen ini. Tanpa keluarga, tanpa pasukan saya, semua ini tidak mungkin berlaku.

"Anda bersendirian, kesemua mata tertumpu kepada anda, anda mengambil tanggungjawab itu, anda mengambil pujian tetapi perlu memberikan pujian itu ke arah yang sepatutnya dan ia kepada pasukan yang tinggal bersama saya dari hari ke hari, pada waktu senang dan pada waktu sukar. Ini adalah kejayaan mereka juga," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video