Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Djokovic berterima kasih kepada penyokong selepas ditahan di Melbourne

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

djokovic.jpg
Novak Djokovic berterima kasih kepada penyokongnya yang berkempen untuk membenarkannya beraksi dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia, pada ketika dia membuka mulut buat kali pertama sejak ditahan di Melbourne.

Pemain nombor satu dunia itu akan menghabiskan hujung minggu ini di sebuah hotel yang turut menempatkan pelarian dan pencari suaka, yang sebahagian daripada mereka telah menunggu bertahun-tahun untuk dibebaskan.

Sesi pendengaran di mahkamah pada Isnin ini akan menentukan nasib Djokovic selepas Pasukan Sempadan Australia membatalkan permohonan visanya dengan berkata pemain berusia 34 tahun berkenaan "gagal memberikan bukti yang bersesuaian untuk memenuhi syarat kemasukan ke Australia".

Djokovic pada awalnya kelihatan akan dibenarkan untuk beraksi selepas mendapat pengecualian perubatan daripada penganjur kejohanan grand slam pembuka musim itu tetapi nasibnya kini  kelihatan masih kabur.

Injunksi yang diperoleh pasukan guamannya telah membenarkannya untuk terus berada di negara itu buat masa ini walaupun berada dalam tahanan.

Bintang tenis Serbia itu mencoret dalam satu kiriman Instagram: "Terima kasih kepada anda di seluruh dunia kerana terus menyokong saya. Saya dapat merasainya dan amat-amat menghargainya."

Terbuka Australia akan bermula pada 17 Januari ini dan sekiranya pemenang 20 gelaran utama itu dibenarkan untuk beraksi selepas sesi pendengarannya pada Isnin ini, dia pasti kesuntukan masa untuk melakukan persiapan.
 

Advertisement

Must Watch Video