SUKAN LAIN
Terbuka Antarabangsa Malaysia: Tun Ameerul tidak gentar
Atlet boling tenpin negara, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam, tidak gentar meskipun saingan akhir Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia di Sunway Mega Lanes, Jumaat ini akan menghimpunkan jaguh handalan dunia.
Tun Ameerul beraksi baik bersama gandingannya, Adrian Ang, untuk menjuarai acara beregu Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong, Disember lalu.
Prestasinya dalam Terbuka Thailand awal bulan lalu turut tidak mengecewakan selepas menduduki tempat keempat.
Iklan
Dengan Adrian dinobatkan sebagai juara dalam saingan itu, ia menambahkan keyakinan Tun Ameerul untuk menghadapi saingan akhir Terbuka Antarabangsa Malaysia.
"Jika saya dapat menduduki tiga tempat teratas atau layak ke final, ia sudah cukup baik.
"Sewaktu di Thailand, saya menduduki tempat keempat dan hanya kekurangan satu pin di belakang pemenang tempat ketiga.
"Ia meningkatkan keyakinan saya untuk menghadapi Terbuka Malaysia," katanya.
Kejohanan yang memasuki edisi ke-40 itu turut menarik perhatian jaguh ternama dunia seperti Kyle Troup, Yannaphon Larpapharat dan penampilan semula pemain di ranking kesembilan dunia, Dominic Barret, yang cukup teruja untuk berentap dengan juara dunia, Rafiq Ismail.
"Ia akan menjadi minggu yang baik dan ia amat hebat untuk dapat kembali bertemu Rafiq dan ramai pemain handalan dunia yang lain.
"Saya berharap kami akan beraksi baik dan dapat bertemu di peringkat final," kata Barret.
Must-Watch Video