SUKAN LAIN
Terbuka Antarabangsa Malaysia: Shalin buru kejuaraan ketiga
Jaguh boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, mahu menamatkan kemarau 15 tahun dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia di Sunway Mega Lanes yang akan menutup tirai Sabtu ini.
Shalin meraih gelaran juara buat kali pertama pada 1996 dan terpaksa menanti selama lapan tahun untuk mengulanginya pada 2004.
Atlet berusia 40 tahun itu masih mengekalkan kecemerlangannya di atas lapangan.
Iklan
Dia tidak gentar dengan cabaran atlet muda dan masih berharap untuk meraih gelaran ketiganya dalam edisi tahun ini.
Ketika ini, Shalin dalam usaha untuk ke final acara masters wanita, Jumaat ini.
"Sasaran saya sepanjang tahun ini adalah untuk menamatkan beberapa kejohanan di kedudukan podium.
"Ia sentiasa seronok untuk memenanginya di negara sendiri, jadi saya akan berusaha dengan sebaik-baiknya," katanya.
Dalam masa sama, Shalin menjelaskan keutamaan skuad wanita negara adalah untuk menyamai pencapaian cemerlang yang diraih tahun lalu.
Antara kejohanan utama yang menjadi sasaran mereka ialah Kejohanan Asia di Kuwait (Oktober) dan misi mempertahankan tiga pingat emas dalam Sukan SEA Manila, Disember depan.
"Persiapan kami setiap tahun sama sahaja.
"Kami akan melakukan persiapan yang lebih intensif menjelang tiga kejohanan besar tahun ini.
"Kami akan memastikan peralatan kami dapat disesuaikan dengan permukaan lorong dalam kejohanan-kejohanan itu," tambahnya.
Must-Watch Video