TERBAIK 2023: 32-24
Muzaffar Musa
Disember 30, 2023 18:34 MYT
Disember 30, 2023 18:34 MYT
Rangkuman 50 Terbaik kalendar sukan tempatan & antarabangsa sepanjang tahun 2023.
32. IZZATUL MUSFIRAH LEBUR DUA REKOD BARU MSSM
Sensasi atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira memperagakan aksi cemerlang mencipta dua rekod baharu pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan Kali Ke-63, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Izzatul mencipta rekod menerusi saingan final 200 meter lari berpagar perempuan bawah 15 tahun selepas mencatat masa 27.43 saat sekaligus menggondol emas ketiganya di sepanjang kejohanan.
Catatan itu memadam rekod sebelum milik Azreen Nabila Alias juga dari Terengganu pada tahun 2015 iaitu 27.56s.
31. PERAK BISON JUARA STL
Perak Bison mengesahkan mahkota kejuaraan Emas Anuar Liga Sepak Takraw, STL 2023 menjadi milik mereka selepas menewaskan KPT-MASUM Knight pada aksi terakhir yang terpaksa ditentukan dalam aksi tiga set, 21-19, 16-21, 21-14.
Kemenangan menyaksikan anak buah Suhairi Abd Aziz menggenggam kejuaraan kedua selepas melakukannya pada edisi 2019.
30. SKUAD HOKI GAGAL LUNAS MISI KE OLIMPIK
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal bingung memikirkan prestasi skuad hoki lelaki negara yang gagal mara ke separuh akhir Sukan Asia Hangzhou lalu sekaligus gagal mencuri slot ke Olimpik Paris.
Malaysia sepatutnya mampu menewaskan tuan rumah kerana China bukan antara pencabar terkuat dalam acara hoki, namun Speedy Tigers hanya mampu mencatatkan keputusan seri 4-4 dalam perlawanan itu.
Prestasi cemerlang dengan menjulang Piala Sultan Azlan Shah serta layak ke final Piala Asia dan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara (ACT) 2023, gagal diteruskan di Sukan Asia sehingga menyaksikan anak buah Arul Selvaraj terpaksa bayar harga mahal dengan mereka digugurkan daripada Program Road to Gold, RTG.
29. TANGISAN ATLET TAEKWONDO, NURUL HIDAYAH LEPAS DINAFIKAN PINGAT
Atlet teakwondo poomsae negara, Nurul Hidayah Abdul karim, tidak dapat menahan sebak sebaik kempunan menyumbang pingat pertama negara di Sukan Asia Hangzhou.
Bukan disebabkan masalah prestasinya tetapi apa yang mengundang tangisan itu adalah disebabkan keputusan berat sebelah juri yang menafikan tempatnya di separuh akhir. Dia dijangka mudah layak ke separuh akhir namun terpaksa telan kepahitan apabila keputusan sebaliknya diumumkan.
Sekiranya layak, Malaysia akan meraih pingat pertama sekurang-kurangnya dengan kilauan gangsa.
28. LEE ZII JIA TOLAK TAWARAN PROGRAM RTG
14 November lalu, perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia lantang membuat tindakan dengan muncul pemain pertama yang menolak tawaran menyertai Program Road to Gold, RTG.
Ternyata sandaran negara untuk mengejar emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik memandang sepi tawaran itu sekaligus mengundang persoalan berhubung kewajaran tindakannya itu.
27. BENZEMA, NEYMAR & MANE KE ARAB SAUDI
2023 menyaksikan Liga Arab Saudi dilimpahi dengan lambakan pemain bintang eropah antaranya Karim Benzema, Neymar dan Sadio Mane.
Benzema sertai Al-Ittihad sebagai ejen bebas Jun lalu dengan dia dilaporkan mendapat gaji lebih 100 juta Euro selepas meninggalkan Real Madrid, kelab yang disertainya selama 14 tahun.
Neymar, pula tinggalkan Paris Saint Germain, PSG untuk menabur bakti bersama Al Hilal.
Sementara Sadio Mane memilih untuk bersama Cristiano Ronaldo di Al Nassr selepas hanya semusim bersama Bayern Munich.
26. LIONEL MESSI JULANG BALLON d’OR KE-8
Tanggal 30 Oktober lalu, di Paris, Lionel Messi cemerlang raih gelaran Ballon d'or kelapannya selepas kejayaannya membawa Argentina menjulang trofi terbesar bola sepak, Piala Dunia di Qatar.
Kejuaraan yang mengakhiri penantian 36 tahun skuad La Abiceleste. Dia menjaringkan dua gol di final yang menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti lepas kedudukan terikat 3-3. Messi jugak diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.
Messi tewaskan sensasi Manchester City, Erling Haalland, Kylian Mbappe termasuk seteru utamanya, Cristiano Ronaldo.
25. KELANTAN CIPTA REKOD BOLOS 100 GOL
Kelantan cipta sejarah jadi pasukan pertama yang berdepan rekod bolos lebih 100 gol di saingan Liga Super. Belum pernah ada pasukan yang dibolosi sebegini banyak dalam sejarah Liga Super Malaysia sejak kejohanan diperkenalkan pada tahun 2004.
Kelantan menamatkan saingan musim ini di tangga tercorot liga selepas hanya mencatat dua kemenangan dan dua seri untuk mengutip 8 mata selepas mencatat sejumlah 121 gol bolos.
24. ASTRO KEMBALI JADI PENYIAR RASMI LIGA M
Astro dan Malaysian Football League, MFL secara rasminya mengumumkan pada 1 Februari lalu berhubung kolaborasi selama tiga tahun bermula tahun 2023 sehingga 2025 sebagai penyiar rasmi untuk semua pertandingan Liga Malaysia meliputi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Kehadiran semula Astro bersama MFL ini memberi petanda Liga Malaysia semakin mendapat tarikan dan secara tidak langsung meningkatkan profil liga serta kelab yang bertanding.