Taylor Fritz menempah tiket ke separuh akhir Tenis Terbuka Amerika Syarikat buat pertama kali dalam kerjayanya!

Fritz menundukkan Alexander Zverev dalam aksi empat set yang cukup getir untuk mencerahkan peluang muncul lelaki tuan rumah pertama dinobat juara kejohanan grand slam itu sejak Andy Roddick pada 2003.

Bertemu Zverev buat kali ke-10 dalam kerjayanya, ia juga merupakan kali ketiga kedua-dua seteru itu bertembung tahun ini.

Set pertama jelas menggambarkan keinginan kedua-dua pemain untuk meraih gelaran grand slam pertama karier masing-masing apabila perlawanan diheret ke 'tie break' sebelum Fritz menang 7-6.

Tetapi Zverev berjaya bangkit dalam set kedua selepas menemui rentaknya semula untuk mencatatkan kemenangan 6-3.

Namun, set ketiga kembali memihak Fritz, yang bijak menguasai permainan untuk memperdaya serta memenatkan lawannya, sebelum menutup saingan dengan keputusan 6-4.

Aksi dalam set penentuan tampak sengit sehingga dibawa ke 'tie break' di mana kesilapan dari Zverev memuktamadkan kejayaan Fritz 7-6, sekali gus menjadi pemain lelaki pertama mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun ini.