TENIS
Tenis Terbuka AS: Sabalenka wanita pertama kembali ke pentas Final dua tahun berturut-turut, sejak Serena Williams
Aryna Sabalenka muncul wanita pertama untuk kembali ke Final Terbuka Amerika Syarikat buat tahun kedua berturut-turut, sejak Serena Williams selepas mengatasi Emma Navarro.
Pencapaian ini juga mencerahkan peluang Sabalenka untuk muncul Juara Terbuka Amerika Syarikat pertama dari Rusia, sejak dijuarai Maria Sharapova pada 2006!
Dalam pertemuan kali ketiga tahun ini antara Sabalenka dan Navarro, bekas pemain nombor satu dunia itu bermula lebih dominan untuk menguasai gelanggang.
Namun, Navarro membuktikan mengapa dia layak ke Separuh Akhir Terbuka Amerika Syarikat 2024 dengan aksi memukau untuk mengikat perlawanan 2-2.
Tetapi, pengalaman Sabalenka ternyata membantunya dalam baki aksi set pertama -- dengan 16 'winners' yang dicatat berbanding hanya 8 dari Navarro menjadi kunci kejayaan awal, 6-3.
Ceritanya berlainan di set kedua apabila Navarro mempamerkan aksi kebangkitan untuk mendahului perlawanan.
Meskipun Sabalenka berjaya memintas lawannya, kecekalan Navarro menyaksikan pemain di ranking ke-12 dunia ketika ini, kembali mendahului 6-5.
Situasi tersebut tidak kekal lama kerana Sabalenka mengerah keringat untuk mengikat perlawanan 6-6, sekaligus memaksa penentuan menerusi 'tie break'.
Navarro yang nampak seakan keletihan, cuba manfaatkan 23 'unforced errors' yang dicatat Sabalenka tetapi, apakan daya terpaksa akur 7-6 kepada Juara Grand Slam 2 kali itu.