Skip to main content

Tenis

Tenis Terbuka Palermo: Kontaveit-Ferro tentukan siapa lebih berhak bergelar jaguh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kontaveit.jpg
Anett Kontaveit akan berhitung dengan Fiona Ferro dalam perlawanan akhir Terbuka Palermo, awal pagi esok, bagi Kejohanan Tenis WTA pertama yang dianjurkan sejak Mac lalu. 

Kontaveit mengatasi peserta lebih unggul, Petra Martic, 6-2, 6-4 sebelum Ferro menguburkan impian pemain tuan rumah dengan kemenangan 2-6, 6-2, 7-5 ke atas Camila Giorgi di Sicily.

Kontaveit, selaku pilihan keempat kejohanan dipisahkan tujuh anak tangga dengan Martic yang menduduki nombor 15 dunia, beraksi hebat sebelum menang dalam pertarungan selama 1 jam 29 minit itu.

Pemain Estonia itu menyasarkan gelaran perseorangan kedua dalam kariernya dan yang pertama di tanah liat -- pernah memenangi gelanggang rumput di Rosmalen pada 2017. 
 
Dia berkata: "Saya beraksi sangat baik dalam perlawanan hari ini. Saya cukup agresif, tekal dan saya beraksi dengan baik dalam set pertama. Ia agak sengit tetapi saya bermain dengan baik ketika di kedudukan 5- 4 dan saya gembira untuk berada dalam final. "

Martic mengakui berdepan kesulitan dalam pertemuan itu dan terlepas peluang untuk memberikan saingan lebih sengit. 

Ferro dan Giorgi pula terpaksa berhempas pulas sepanjang 2 jam 6 minit sebelum finalis kejohanan itu dapat diputuskan. 

Ferro -- di kedudukan ke-53 dunia -- memburu gelaran WTA keduanya selepas menawan gelanggang tanah liat di Lausanne pada Julai tahun lalu.

Advertisement

Must Watch Video