Skip to main content

Tenis

Tenis Terbuka Australia: Kejayaan grand slam paling bermakna buat Nadal

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nadal.jpg
Rafael Nadal menegaskan bahawa di penghujung kariernya dia langsung tidak memikirkan status berapa banyak grand slam yang telah dimiliki, tetapi kejuaraan grand slam ke-21 yang diraihnya awal pagi tadi masih terasa begitu istimewa bagi bintang Sepanyol itu.

Malah, dia mengakui kejayaan yang ditempa pada saat yang tidak disangka-sangka mungkin merupakan salah satu kejuaraan yang paling emosional baginya.

"Ia cukup bermakna bagi saya,” kata pemain berusia 35 tahun itu sebaik dinobatkan pemain tenis lelaki paling gemilang selepas menundukkan Daniil Medvedev dalam pertarungan epik lima jam dan 24 minit di Rod Laver Arena. 

Dia mempamerkan keampuhannya apabila bangkit daripada ketinggalan dua set untuk mencatat kemenangan 2-6, 6-7 (5-7), 6-4, 6-4, 7-5. 

Nadal mendedahkan pernah khuatir terhadap kariernya memandangkan dia bergelut untuk pulih daripada kecederaan kaki yang menjejaskan sebahagian besar kariernya.

Dia terpaksa berehat sejak Ogos tahun lalu yang menyaksikannya terlepas Terbuka Wimbledon, Terbuka Amerika Syarikat dan Sukan Olimpik Tokyo.  

"Secara jujurnya saya tidak mahu mengubah pandangan," katanya. 

"Bagi saya, adalah menakjubkan untuk mencapai satu lagi grand slam dalam karier ini. Ia amat bermakna buat saya. Sudah tentu, saya menyedari 21 adalah satu nombor istimewa. Saya tahu apa ertinya. Gelaran ini amat bermakna."


 


Nadal berkata apa yang paling penting ialah menikmati detik-detik besar, bukannya sama ada dia menamatkan saingan di tempat pertama, kedua atau ketiga di belakang Federer dan Djokovic seperti yang digambarkan. 

"Hari ini adalah hari yang tidak dapat dilupakan," katanya lagi. 

"Sepanjang enam bulan lalu, saya benar-benar bergelut untuk cuba kembali ke gelanggang. 

Terdapat detik-detik dan perbincangan yang sangat sukar kerana saya tidak pasti apakah masih berpeluang untuk bermain semula. 

"Saya rasa berbesar hati. Saya rasa bertuah kerana dapat mencapai satu lagi perkara yang sangat istimewa dalam karier saya. Saya tidak begitu kisah sama ada saya seorang atau bukan yang terbaik dalam sejarah.

"Sejujurnya, hari ini saya tidak kisah sangat. Bagi saya, ia tentang menikmati malam seperti hari ini. Ia memberi segala-galanya untuk saya."

Ini merupakan kejuaraan Terbuka Australia kedua raja tanah liat itu, genap 13 tahun sejak dia menewaskan Federer dalam pertarungan lima set. 

"Tidak syak lagi ini ini adalah kejayaan yang paling tidak dijangka," katanya. 

"Saya fikir ia paling mengejutkan semua orang. Ia adalah satu malam yang sangat emosional."

Advertisement

Must Watch Video