Skip to main content

Tenis

Tenis: Borna Coric muktamadkan prestasi cemerlang Terbuka Barat & Selatan

borna-coric.jpg
Borna Coric bakal mendaki 123 anak tangga untuk menduduki ranking ke-29 apabila senarai baru kedudukan tenis dunia dikeluarkan selepas mengetepikan pemain nombor tujuh dunia, Stefanos Tsitsipas, 7-6 (7-0), 6-2 dalam perlawanan akhir Terbuka Barat & Selatan.

Dia mengutip 1000 mata menerusi kejuaraan ATP Masters 1000 pertamanya itu sebentar tadi sekalipun hadir sebagai peserta kerdil di ranking ke-152 dunia. 

Lima pencabar dalam kalangan 20 teratas dunia yang terdiri daripada Rafael Nadal, Roberto Bautista-Agut, Felix Auger-Aliassime, Cameron Norrie menjadi mangsanya sepanjang laluannya ke final. 

Tsitsipas dilihat akan menikmati set pertama yang selesa apabila mendahului 4-1 selepas mematahkan servis Coric dalam peluang pertama, tetapi pemain Croatia itu kembali menyamakan kedudukan untuk mengheret permainan ke 'tie break' selepas menyelamatkan tiga lagi break point. 

Coric mempertahankan momentumnya apabila melepasi tie break itu tanpa melepaskan mata untuk mendominasi set pembukaan, secara tidak langsung mengejutkan pemain nombor tujuh dunia tersebut. 

Tsitsipas menyusun semula permainannya apabila segera berkelebihan 40 mata dalam pembukaan set kedua itu, tetapi tekad pemain berusia 25 tahun terbabit -- yang tampil dalam final kedua ATP Masters 1000 dan yang pertama sejak Shanghai pada 2018 -- tidak mudah padam apabila menyelamatkan tiga mata servis untuk kekal dalam kawalan.

Coric mematahkan enam daripada tujuh servis lawan sepanjang pertarungan berkenaan sebelum mengesahkan prestasi terbaik dalam kariernya itu dengan mematahkan servis pemain Greece tersebut sebanyak dua kali.

Statistik menunjukkan ia bukanlah satu kebetulan berikutan ketekalan servisnya apabila memenangi 69 peratus berbanding 57 peratus oleh Tsitsipas dan hasilnya, dia mematahkan 12 servis lawan manakala Tsitsipas sebanyak tujuh kali. 

   

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video